Wednesday, March 9, 2011

Bertambah setahun lagi usiaku.....

Tanggal 9 Mac 1968, bersamaan 10 Zulhijjah telah lahir seorang bayi perempuan yang kemudiannya telah diberi nama Wan Noraini. Kata mama, masa tu orang tengah sibuk nak pergi sembahyang Hari Raya Aidil Adha....aku pulak tak menyempat-nyempat nak keluar. So, waktu orang berduyun-duyun nak pergi solat raya, mama dinaikkan ke atas ambulans. Tepat 1.30 tengahari aku telah selamat dilahirkan dengan kaedah forcep, kata mama. Terima kasih Mama atas pengorbananmu membesarkan aku dan memberi didikan serta tunjuk ajar. Tak terbalas jasamu Mama.....!!!! Semoga Allah terus merahmatimu...!!!

Hari ini, 9 Mac 2011....bermakna 43 tahun telah berlalu. MasyaAllah...dr seorang bayi....kini usiaku telah mencapai umur matang, dan aku telah bergelar isteri  serta ibu kepada 3 orang cahaya mata yg comel. Penat lelah mengasuh anak menyedarkan aku betapa besarnya pengorbananmu mama.....dan merasa berdosanya aku atas segala salah silap yg pernah aku buat terhadap dirimu, samada secara sengaja atau tidak. Maafkan aku mama....ampunkanlah dosa anakmu ini...!!!

Bertambah setahun lagi usiaku.......ini bermakna aku semakin menghampiri perjanjianku dengan Allah untuk dipanggil pulang olehNya. Saat itu pasti akan tiba juga.....apakah esok, lusa, bulan depan atau tahun depan....tidak ada siapa yg tahu....tp yang pasti aku semakin bergerak menghampirinya, samada aku mahu atau tidak. Semua makhluk di dunia ini tidak ada yang kekal melainkan Dia.

Semenjak kecil, mama telah mengenalkan aku dengan Allah. Kata mama, aku telah boleh menyebut nama Allah seawal usiaku 8 bulan lagi. Mama kata, aku ni sewaktu kecil selalu saja diserang sawan. Kalau orang sekarang, ada setengahnya memanggil penyakit tersebut sebagai epilepsi. Selalu saja aku ni pengsan dan tarik sawan. Bila sedar je dari pengsan, kata mama....perkataan pertama yg aku sebut sebelum memanggil namanya ialah nama Allah. Allah....Allah....Ini mungkin kerana mama selalu saja menyebut nama Allah sewaktu mendodoikan aku. Terimakasih Mama...!


Kini aku telah menjadi seorang ibu. Di bawah tanggungjawabku ada seorang putera dan dua orang puteri yg perlu aku asuh dan didik, di mana setiap tindak tanduk mereka, aku akan diminta bertanggungjawab keatasnya.

Sabda Rasulullah saw:

أن الله ساـل كل راع عما استرعاه، حفظ أم ضيع ، حتى يسأ ل الرجل عن أهل بيته

Yang Bermaksud:  Sesungguhnya Allah akan menyoal tiap-tiap penggembala akan apa yang digembalanya, adakah dia menjaganya dengan baik, atau dia menyia-nyiakannya, sehinggalah seseorang lelaki itu akan disoal tentang ahli rumahnya. (Riwayat Ibnu Hibban)

Hadis ini cukup menyedarkan aku untuk tidak ambil mudah berkenaan pendidikan anak-anakku. Ini kerana setiap tindak tanduk mereka aku akan diminta bertanggungjawab di akhirat nanti. Jika ada kesalahan dibuat oleh anak-anakku, di akhirat nanti Allah swt akan tanya kepada aku, samada aku telah ajar mereka tentang perkara tersebut atau tidak. Ya Allah...besarnya tanggungjawab ini.

Ya Allah....demi memenuhi tanggungjawab itu, sejak dari usia mereka 5 tahun, kesemua mereka aku hantar ke tadika Islam. Bila masuk ke sekolah rendah pula, mereka didaftarkan ke sekolah rendah Islam.Begitu juga bila memasuki sekolah menengah aku hantar mereka ke sekolah tahfiz. Kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut menuntut belanja yg agak besar memandangkan ia adalah sekolah swasta. Memang kalau hendak dikira dgn kemampuan aku dan suami, ianya agak berat ....tetapi bila mengenangkan tanggungjawab  kami sebagai ibubapa mereka untuk memberikan pendidikan agama, rasanya kami lebeh rela mengikat perut. Biar pakaian tidak berganti, dari kami dipakaikan dengan pakaian dari api neraka di hari akhirat nanti.  Harapanku semoga di sekolah tersebut, mereka akan lebih terdidik dengan ilmu agama.  Dan, bila sampai waktu aku menutup mata nanti, aku akan tenang di sana dan mendapat rahmat dari Allah, berkat doa anak-anak yang soleh dan solehah.

Alhamdulillah, setakat ini Along Fathi telah mula menampakkan kecenderungannya ke arah agama. Kini dia telah pun berjaya menghafaz 20 juzuk Al-Quran, dan bermula Ramadan tahun lepas, dia mula memberanikan diri menjadi imam untuk solat terawih. Kak Ngah Fatimah pun telah mula menampakkan minat semenjak aku daftarkan dia ke Tahfiz Darul Asma'. Berbeza dengan sebelum ini, sekarang Al-Quran tak lekang dari tangannya, dan yg membuatkan aku  tersenyum baru-baru ni ialah dia mula mengalunkan ayat-ayat Al-Quran mengikut imam-imam  yang tersohor seperti Muhammad Taha Al-Junaid, sebagai ganti lagu-lagu yang melalaikan yg dia alunkan sebelum ini. Berkenaan anak bongsuku Ain Nusaibah pula, semenjak dari kecil lagi telah menunjukkan kecenderungan dan minat kepada Al-Quran. Alhamdulillah semenjak umur 6 tahun lagi telah khatam Al-Quran dan kini terpilih untuk mengikuti kelas tahfiz Al-Quran di sekolahnya. Baru-baru ni pula, Ain telah terpilih untuk menerima anugerah pelajar cemerlang PASTI, peringkat Negeri Kelantan. Sesungguhnya anak-anak ummi.....Ummi dan Abah tidak ada aset untuk diwariskan kepada kalian.....peganglah erat ilmu yang kalian peroleh itu sebagai bekalan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

 Dengan baki usia yang masih bersisa ini, aku harap aku dapat mengisi ruang waktu yang ada ini untuk menambah ilmu agama dan melakukan amal ibadat yg jarang2 aku laksanakan dulu, seperti solat sunat qiamullail, sunat dhuha, sunat taubat dll. Aku juga harap aku dapat menjadi isteri yang solehah kepada suami ku yang tercinta.


Ya Allah....Bantulah aku dalam menyusun langkah demi mencari keredhaanMu. Semoga usia yang masih berbaki ini dapat aku manfaatkan untuk menggapai syurgaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin......

Tanpa Bimbingan dan Hidayahmu Siapalah Aku.....!!!

 

No comments:

Post a Comment