Wednesday, March 9, 2011

Bertambah setahun lagi usiaku.....

Tanggal 9 Mac 1968, bersamaan 10 Zulhijjah telah lahir seorang bayi perempuan yang kemudiannya telah diberi nama Wan Noraini. Kata mama, masa tu orang tengah sibuk nak pergi sembahyang Hari Raya Aidil Adha....aku pulak tak menyempat-nyempat nak keluar. So, waktu orang berduyun-duyun nak pergi solat raya, mama dinaikkan ke atas ambulans. Tepat 1.30 tengahari aku telah selamat dilahirkan dengan kaedah forcep, kata mama. Terima kasih Mama atas pengorbananmu membesarkan aku dan memberi didikan serta tunjuk ajar. Tak terbalas jasamu Mama.....!!!! Semoga Allah terus merahmatimu...!!!

Hari ini, 9 Mac 2011....bermakna 43 tahun telah berlalu. MasyaAllah...dr seorang bayi....kini usiaku telah mencapai umur matang, dan aku telah bergelar isteri  serta ibu kepada 3 orang cahaya mata yg comel. Penat lelah mengasuh anak menyedarkan aku betapa besarnya pengorbananmu mama.....dan merasa berdosanya aku atas segala salah silap yg pernah aku buat terhadap dirimu, samada secara sengaja atau tidak. Maafkan aku mama....ampunkanlah dosa anakmu ini...!!!

Bertambah setahun lagi usiaku.......ini bermakna aku semakin menghampiri perjanjianku dengan Allah untuk dipanggil pulang olehNya. Saat itu pasti akan tiba juga.....apakah esok, lusa, bulan depan atau tahun depan....tidak ada siapa yg tahu....tp yang pasti aku semakin bergerak menghampirinya, samada aku mahu atau tidak. Semua makhluk di dunia ini tidak ada yang kekal melainkan Dia.

Semenjak kecil, mama telah mengenalkan aku dengan Allah. Kata mama, aku telah boleh menyebut nama Allah seawal usiaku 8 bulan lagi. Mama kata, aku ni sewaktu kecil selalu saja diserang sawan. Kalau orang sekarang, ada setengahnya memanggil penyakit tersebut sebagai epilepsi. Selalu saja aku ni pengsan dan tarik sawan. Bila sedar je dari pengsan, kata mama....perkataan pertama yg aku sebut sebelum memanggil namanya ialah nama Allah. Allah....Allah....Ini mungkin kerana mama selalu saja menyebut nama Allah sewaktu mendodoikan aku. Terimakasih Mama...!


Kini aku telah menjadi seorang ibu. Di bawah tanggungjawabku ada seorang putera dan dua orang puteri yg perlu aku asuh dan didik, di mana setiap tindak tanduk mereka, aku akan diminta bertanggungjawab keatasnya.

Sabda Rasulullah saw:

أن الله ساـل كل راع عما استرعاه، حفظ أم ضيع ، حتى يسأ ل الرجل عن أهل بيته

Yang Bermaksud:  Sesungguhnya Allah akan menyoal tiap-tiap penggembala akan apa yang digembalanya, adakah dia menjaganya dengan baik, atau dia menyia-nyiakannya, sehinggalah seseorang lelaki itu akan disoal tentang ahli rumahnya. (Riwayat Ibnu Hibban)

Hadis ini cukup menyedarkan aku untuk tidak ambil mudah berkenaan pendidikan anak-anakku. Ini kerana setiap tindak tanduk mereka aku akan diminta bertanggungjawab di akhirat nanti. Jika ada kesalahan dibuat oleh anak-anakku, di akhirat nanti Allah swt akan tanya kepada aku, samada aku telah ajar mereka tentang perkara tersebut atau tidak. Ya Allah...besarnya tanggungjawab ini.

Ya Allah....demi memenuhi tanggungjawab itu, sejak dari usia mereka 5 tahun, kesemua mereka aku hantar ke tadika Islam. Bila masuk ke sekolah rendah pula, mereka didaftarkan ke sekolah rendah Islam.Begitu juga bila memasuki sekolah menengah aku hantar mereka ke sekolah tahfiz. Kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut menuntut belanja yg agak besar memandangkan ia adalah sekolah swasta. Memang kalau hendak dikira dgn kemampuan aku dan suami, ianya agak berat ....tetapi bila mengenangkan tanggungjawab  kami sebagai ibubapa mereka untuk memberikan pendidikan agama, rasanya kami lebeh rela mengikat perut. Biar pakaian tidak berganti, dari kami dipakaikan dengan pakaian dari api neraka di hari akhirat nanti.  Harapanku semoga di sekolah tersebut, mereka akan lebih terdidik dengan ilmu agama.  Dan, bila sampai waktu aku menutup mata nanti, aku akan tenang di sana dan mendapat rahmat dari Allah, berkat doa anak-anak yang soleh dan solehah.

Alhamdulillah, setakat ini Along Fathi telah mula menampakkan kecenderungannya ke arah agama. Kini dia telah pun berjaya menghafaz 20 juzuk Al-Quran, dan bermula Ramadan tahun lepas, dia mula memberanikan diri menjadi imam untuk solat terawih. Kak Ngah Fatimah pun telah mula menampakkan minat semenjak aku daftarkan dia ke Tahfiz Darul Asma'. Berbeza dengan sebelum ini, sekarang Al-Quran tak lekang dari tangannya, dan yg membuatkan aku  tersenyum baru-baru ni ialah dia mula mengalunkan ayat-ayat Al-Quran mengikut imam-imam  yang tersohor seperti Muhammad Taha Al-Junaid, sebagai ganti lagu-lagu yang melalaikan yg dia alunkan sebelum ini. Berkenaan anak bongsuku Ain Nusaibah pula, semenjak dari kecil lagi telah menunjukkan kecenderungan dan minat kepada Al-Quran. Alhamdulillah semenjak umur 6 tahun lagi telah khatam Al-Quran dan kini terpilih untuk mengikuti kelas tahfiz Al-Quran di sekolahnya. Baru-baru ni pula, Ain telah terpilih untuk menerima anugerah pelajar cemerlang PASTI, peringkat Negeri Kelantan. Sesungguhnya anak-anak ummi.....Ummi dan Abah tidak ada aset untuk diwariskan kepada kalian.....peganglah erat ilmu yang kalian peroleh itu sebagai bekalan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

 Dengan baki usia yang masih bersisa ini, aku harap aku dapat mengisi ruang waktu yang ada ini untuk menambah ilmu agama dan melakukan amal ibadat yg jarang2 aku laksanakan dulu, seperti solat sunat qiamullail, sunat dhuha, sunat taubat dll. Aku juga harap aku dapat menjadi isteri yang solehah kepada suami ku yang tercinta.


Ya Allah....Bantulah aku dalam menyusun langkah demi mencari keredhaanMu. Semoga usia yang masih berbaki ini dapat aku manfaatkan untuk menggapai syurgaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin......

Tanpa Bimbingan dan Hidayahmu Siapalah Aku.....!!!

 

Tuesday, March 8, 2011

Azam baru saya...




Firman Allah, dalam surah Al-Asr ayat 1-3:

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yg beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling nasihat-menasihati dgn kebenaran, dan mereka yg nasihat-menasihati dengan kesabaran".

Masa....sekali ia berlalu, ia tidak akan kembali lagi. Seharusnya masa 24 jam yg dikurniakan oleh Allah ini digunakan dengan seoptimum mungkin. Tetapi, begitulah kita ...sebagai manusia kita selalu saja lalai. Ada saja perkara yg menghambat kita untuk menangguhkannya. Buktinya....adalah blog saya ni, yg saya biarkan sepi berbulan-bulan lamanya. Ada saja alasannya untuk saya membenarkan penangguhan tersebut. Sebenarnya,  ia tidak seharusnya dijadikan alasan...kerana sebagai manusia kita tidak sunyi dr berhadapan dgn masalah. Masalah-masalah kecil seharusnya tidak menjadi batu penghalang untuk kita.

Kekurangan pengetahuan tentang komputer salah satu sebab yg membuatkan saya menangguhkannya dari sehari ke sehari. Sehinggalah 2 hari lepas saya membeli buku berkenaan cara-cara membuat blog. Terima kasih kepada buku 'Blog: Bawa Pemikiran Anda Ke Tengah' oleh Aizam Hussin, keluaran Venton. Dengan bantuan buku tersebut, dapatlah saya memasukkan widget untuk mencantikkan sedikit blog saya yang tidak sepertinya ini dan mengetahui sedikit sebanyak ilmu berkenaan tatacara pembuatan blog.

Menulis blog tidak pernah saya mimpikannya sebelum ini. Sebelum ni saya cuma menjadi pembaca blog-blog yang ditulis oleh orang lain. Antara blog yg selalu saya baca ialah blog Ummu Husna99.blogspot.com dan UmmuAmmar76.blogspot.com. Mereka ni jauh lebih muda dari saya tapi apa yg mereka ketengahkan telah banyak membantu orang-orang seperti saya yang cetek ilmu pengetahuan agama. Hanya Allah swt sahajalah yang boleh membalas jasa baik mereka.

Sabda Rasulullah saw:

أذامات ابن ادم انقطع عمله ألا من ثلاث : صدقةجارية أوعلم ينتفع به أوولدصالح يدعوله  

Bermaksud: "Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dalam tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak-anak yang soleh yang mendoakan baginya."

Rasulullah saw juga bersabda:

من علم علما فكتمه ألجمه الله يوم القيا مة بلجا م من نار

Bermaksud: "Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, nescaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah swt dengan tali kekang dari api neraka."

"Ya Allah....Aku ini tidaklah banyak ilmu pengetahuan agama....tetapi bagaimanakah aku ingin memperoleh manfaat pahala-pahala yg berterusan selepas aku dipanggil olehMu...!!!!  Adakah jalan yg boleh kutempuh untuk mencapainya...Ya!!! Aku mesti memanfaatkan ilmu yg aku ada sedikit sebanyak ini, memperbanyakkan sedekah jariah dan mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk jadikan anak-anakku, Along Fathi, Kak Ngah Fatimah dan Ain Nusaibah menjadi anak-anak yg soleh dan solehah, supaya  mereka akan mendoakan aku di sana nanti."

Sabda Nabi saw:

الدال على الخيركفا عله

Bermaksud: "Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama seperti mengerjakannya."

Ya! Itulah salah satu faktor mengapa aku mula menulis semula ini. Azamku untuk menyampaikan walaupun hanya sepotong ayat. Jika ada yg membacanya, semoga mereka mendapat sedikit-sebanyak manfaat darinya. Dan, untuk anak-anak ummi moga kalian jadikannya sebagai satu nasihat dan wasiat dr ibumu ini. Selain dari itu, besar harapanku semoga dengan menulis ini, ianya dapat menjadi satu peringatan buat diriku sendiri yang selalu saja alpa dan lalai ini.






Di zaman millenium ni, masa bergerak begitu pantas...kita bagaikan terkejar-kejar semasa membuat sesuatu kerja. Masa 24 jam yang diberikan oleh Allah ini bagaikan tidak cukup jika kita tidak pandai mengaturnya. Di sini, pengurusan masa amatlah penting. Saya tidak tau bagaimana saya nak membahagikan masa saya yg sentiasa sibuk menguruskan rumahtangga, untuk menulis pula di blog ini...bagaimanapun doa saya semoga ianya akan dipermudahkan nanti oleh Allah. Moga langkah pertamaku ini diredhai olehNya. InsyaAllah.

Friday, May 14, 2010

AF Datang Lagi.....



"Dia datang dengan lenggang-lenggoknya...
 Dia datang dengan senyum simpulnya...."

AF....satu fenomena baru di Malaysia sejak 10 tahun kebelakangan ini. Kedatangannya membawa pelbagai rasa dan membawa satu mesej tentang berlakunya perubahan sikap dan persepsi orang kita terhadap mereka yang bergelar 'orang seni' ini.

Teringat kita pada sebuah filem lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, yang kalau tidak silap saya dalam filem 'Ibu Mertuaku', di mana Kasim Selamat tidak diterima oleh mertuanya hanya kerana dia adalah seorang 'ahli muzik'. Kasim Selamat dipisahkan dari isterinya, di hina dan bagi masyarakat pada masa itu ianya adalah sesuatu yang memalukan.

Perubahan sikap masyarakat pada hari ini membuatkan saya termenung jauh. Di dalam televisyen saya lihat setiap kali AF tiba, ia mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Pendekata mereka sanggup berkampung sejak pagi lagi untuk diujibakat. Di Kuala Lumpur misalnya, penuh pekarangan Stadium Bukit Jalil dengan mereka yang hendak menunjukkan bakat masing-masing. Peserta bukan saja di kalangan anak-anak muda, malah mereka yang sudah bergelar nenek juga turut serta. Malah sejarah AF pernah menyaksikan seorang nenek terpilih masuk ke dalam AF. Tak sanggup rasanya saya melihat nenek yang berusia 50an tersebut berlenggang-lenggok dengan anak-anak muda belia yang baru belasan tahun umurnya.

Peserta AF datang dari seluruh ceruk rantau di Malaysia ini, malah anak-anak muda kita di pendalaman telah turut terpukau dengannya. Mereka yang jauh di Felda, yang dulunya adalah anak-anak peneroka dan ada sesetengahnya berada jauh nun di Penampang, Sabah pun telah tergoda dengan kilauan AF ini. Semasa ujibakat, ada yang datang bertemankan ibubapa. Mak ayah pun turut berkampung di Stadium Bukit Jalil sejak pagi hari lagi, kononnya nak bagi sokongan moral kepada anak-anak yang hendak diujibakat. Ahh.....berbezanya dulu dan sekarang........!!!!! Dulu......ibubapa menyorok muka dan merah telinga jika adalah salah seorang anak mereka yang terlibat menjadi 'orang seni'. Sesetengahnya sanggup 'membuang' anak tersebut dari senarai ahli keluarga kerana tak tahan dengan cemuhan masyarakat sekeliling.

Tapi, sekarang amat berbeza sekali !!!!!! Setiap minggu bila anak-anak nak buat persembahan, ibubapa yang tinggal nun jauh di selatan tanahair di Johor....hatta yang di Sabah pun, sanggup turun untuk beri sokongan. Adik beradik dan atuk nenek pun punyalah semangat....siap bawa banner dan turut bersorak-sorai di bawah pentas. Mereka sanggup berhabisan wang untuk mengundi bagi menobatkan anak mereka sebagai JUARA AF.

Kenapa ibubapa sekarang begitu bersemangat dan bangga kalau anak mereka jadi juara AF??? Tentunya tidak lain dan tidak bukan kerana tawaran hadiah lumayan yang dijanjikan...juga peluang populariti yang bakal diperolehi. Yang jadi JUARA, bakal membawa pulang hadiah berupa rumah, kereta, wang tunai puluhan ribu ringgit dan pelbagai lagi. Pendekata, nilai keseluruhan yang bakal diperoleh hampir mencecah sejuta ringgit. Bukan itu saja, malah bagi mereka dengan menyertai AF, akan membawa perubahan segera dalam hidup mereka dan salah satu cara untuk meningkatkan taraf hidup.

Tak sanggup rasanya saya melihat aksi pelajar-pelajar tersebut bila mereka terpilih masuk ke dalam akademi tersebut. Untuk tempoh 2, 3 bulan, pelajar lelaki dan perempuan 'dikurung' bersama di satu tempat....malah dalam Diari AF, kita boleh saksikan betapa mereka bermesra antara satu sama lain, cuit-mencuit dan pelbagai lagi. Dalam persembahan bersama, ada ketikanya dalam tarian mereka, pelajar lelaki menjulang pelajar perempuan. Ya Allah....di manakah maruah mereka dan betapa 'dayus'nya ibubapa mereka....sanggup melihat anak mereka diperlakukan sedemikian rupa, malah menjadi tontonan jutaan manusia. Bila anak mereka tersingkir sebelum sampai 'final', mereka menangis teresak-esak kerana sedih.... ! Heran sungguh saya.....Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah ibubapa ini akan turut sedih dan berhiba seperti itu jika anak-anak mereka tidak pandai membaca Al-Quran.

Ada juga, anak-anak yang bertudung yang diterima masuk dalam AF. Maka setiap minggu terpaksalah mereka menyanyikan pelbagai genre lagu, baik pop mahupun rock. Dengan fesyen mereka bertudung tu, maka bergoyanglah mereka mengikut alunan lagu rock tersebut.

Ya Allah.......tergamam dan kelu mulut saya dibuatnya. Maka teringatlah saya, akan Firman Allah Swt yang bermaksud:

"Allah telah mewasiatkan ke atas kamu tentang anak-anak kamu." (An-Nisa': 11)

Juga FirmanNya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka" (At-Tahrim: 6)

Ya....sejauh manakah kita memelihara anak-anak kita dari api neraka tersebut....?? Takkan lah hanya kerana mengejar kemewahan dunia, kita sanggup menggadaikan anak-anak kita.

Bagi pihak yang berkuasa, dapatlah kiranya diberhentikan program-program yang melalaikan ini. Terlalu banyak program-program seumpama AF yang melalaikan. Antaranya: Gang Starz, Mentor, Jangan Lupa Lirik dan macam-macam lagi. Tak sangka saya, betapa ramai rakyat Malaysia yang menghafal lirik-lirik lagu, walaupun mereka dikehendaki menyanyikannya secara spontan. Malah baru-baru ini saya lihat untuk anak-anak kecil juga diadakan program realiti seumpama AF tersebut. Maka, bernyanyi dan berlenggang-lenggoklah mereka menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan meniru gaya orang dewasa. Ke arah manakah anak-anak ini hendak dibawa sebenarnya??

Kalau anak-anak kita di rumah melihat aksi-aksi mereka ini di televisyen, sudah pasti mereka juga akan tertarik dan menanam impian untuk menjadi popular sekaligus memperoleh kemewahan segera. Tak perlu bersusah payah bersengkang mata membaca buku......!!! Masuk AF.....!!!! Atau, mana-mana program realiti yang bersesuaian dengan bakat yang mereka ada, samada berlakon, berlawak dan sebagainya.

Sebenarnya banyak cara yang boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk membuat transformasi program-program keagamaan, bagi menjadikan ia lebih menarik dan mendidik ummah. Apa yang dilihat, rancangan 'Imam Muda' yang diterbitkan baru-baru ini adalah satu langkah yg boleh diberi pujian. Begitu juga rancangan 'Adik-adikku' yang disiarkan oleh RTM. MasyaAllah....terpesonanya saya melihat anak-anak kecil dalam rancangan 'adik-adikku' berhujah, bernasyid dan berpidato. Seharusnya program-program sebegini diperbanyakkan lagi bagi menyaingi kebanjiran program-program hiburan yg melalaikan.

Untuk anak-anak ummi.....dalam zaman teknologi yang serba canggih ini, besar harapan ummi dan abah pada kalian agar tidak hanyut dalam hiburan yang melalaikan .....tanggungjawab kalian amat besar dalam menjadi insan soleh dan solehah. Bangunlah....Dan berpeganglah kepada Tali ALLAH, pasti kalian tidak akan sesat selamanya.

Semoga Redha Allah akan sentiasa mengiringi setiap hayunan langkah kita. Ucapkan selamat tinggal pada AF dan rancangan-rancangan yang melalaikan itu.......!

Sampai jumpa lagi. InsyaAllah.

Monday, May 10, 2010

CUBA BERUBAH KE ARAH YANG LEBIH BAIK



Setiap hari saya menjalani kehidupan sehari-hari sebagaimana ibu-ibu yang lain juga. Saya harus memasak
membasuh, mengemas rumah dan menguruskan anak pergi dan balik sekolah. Itu tak campur lagi dengan urusan menguruskan suami tercinta dan urusan mendidik anak-anak, yang bagi saya amat besar cabarannya. Pendekata, walaupun saya hanya suri rumah sepenuh masa, masa 24 jam bagaikan tak cukup.

Jadi ibu pada zaman milennium ni terlalu besar cabarannya. Kadang-kadang saya rasa takut. Setiap hari kalau kita belek surat khabar, ada je berita pasal anak-anak yang lari dari rumah,merempit, bohsia, mencuri dan hingga ke peringkat sudah berani membunuh. Kalau saya dengar percakapan budak-budak sekarang, saya lihat bahasa yang mereka gunakan tak sama dengan zaman saya dulu sewaktu seusia mereka. Bahasa mereka agak kasar. Gantinama diri 'aku', 'mu' jadi sesuatu yang biasa. Isshh...tak sanggup saya mendengarnya kalau ia keluar dari mulut anak-anak saya.

Bagaimana saya nak buat...!!! Amat terasa yang diri ni kekurangan ilmu agama. Dulu, waktu zaman persekolahan saya bukanlah dari aliran agama. Selepas tamat tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan di bandar tempat saya tinggal, saya hanya sempat menyambung pelajaran sehingga ke peringkat diploma je di ITM. Itupun bukan dalam bidang agama. Jadi, apa yang perlu saya buat....!!!! Tidak ada cara lain...saya harus tingkatkan ilmu pengetahuan agama saya. Saya mesti berubah....kerana jalan penyelesaian kepada semua masalah pd hari ni hanyalah ISLAM.

Ya Allah...bantulah hambaMu ini dalam mengorak langkah untuk berubah. Untuk permulaan, saya mula banyakkan membaca buku-buku agama dan motivasi. Ternyata ia banyak membantu saya....bukan saja dalam mendidik anak-anak, malah jiwa saya semakin tenang.

Dalam salah satu buku yang saya baca, iaitu 'Pendekatan Islam Terhadap Pendidikan Anak-Anak', di dalamnya ada dinyatakan Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Didiklah anak-anakmu, sesungguhnya mereka itu dijadikan bagi satu zaman yang bukan zamanmu".

Zaman ini zaman dunia tanpa sempadan. Segala maklumat ada dihujung jari kita. Sekitar tahun 1986, sewaktu saya belajar di ITM penggunaan komputer masih belum meluas. Hanya pelajar dlm jurusan sains komputer saja yang masuk makmal komputer. Pendekata, saya buta komputer. Kini dengan meluasnya penggunaan internet, anak-anak saya pun turut didedahkan dengan penggunaan internet ini, baik di sekolah maupun dalam pergaulan dengan teman-teman. Macam-macam yang saya dengar pasal internet ni, pro dan kontra. Sekali lagi saya kena berubah...iaitu dengan mengambil tahu sedikit sebanyak pasal penggunaan komputer dan internet ini. Bukan apa...sekurang-kurangnya dapatlah saya memantau anak-anak. Setelah beberapa lama, sedarlah saya betapa pentingnya anak-anak ditekankan pendidikan keimanan kerana dlm dunia tanpa sempadan itu segalanya terdedah. Hanya iman yang ada dalam dada yang dapat menghalang mereka dari terus melihat apa yang tak sepatutnya mereka lihat atau ambil tahu. Gambar-gambar dan cerita-cerita lucah bersepah. Pendekata, Tepuk Dada Tanya Iman. Sebagai ibu, tugas saya ialah terus beri nasihat.

Bila belajar cara penggunaan internet, saya mula melayari dari satu blog ke satu blog yang lain. Banyak ilmu yang saya dapat yang boleh digunakan untuk mendidik anak-anak dan memperbaiki diri sendiri. Hari ni, saya mencuba untuk menulis pula....bukan apa, semoga ada faedah untuk diri sendiri dan AGAMA tentunya. Jika anak-anak ummi membacanya, ummi harap kalian akan lebih mengerti dan lebih memahami, hasrat serta impian ummi dan abah. Jika ada di kalangan ibu ayah lain yang turut serta membacanya, moga kalian mendapat manfaatnya. Rasa saya impian dan hasrat saya suami isteri tidak berbeza dengan impian ibu ayah yang lain. Pastinya, semua mendambakan anak-anak yang soleh dan solehah. Tulisan ini banyak kekurangannya....dan masih banyak yang perlu dibaiki dan diperbetulkan. Cuma satu harapan saya semoga setiap langkah perubahan saya ini adalah ke arah yang lebih baik. Semuanya Demi Mencari KeredhaanMu.

Jumpa lagi. InsyaAllah.


10 May 2010 / 25 Jamadil Awal 1431 H.
10.57pm