Friday, May 14, 2010

AF Datang Lagi.....



"Dia datang dengan lenggang-lenggoknya...
 Dia datang dengan senyum simpulnya...."

AF....satu fenomena baru di Malaysia sejak 10 tahun kebelakangan ini. Kedatangannya membawa pelbagai rasa dan membawa satu mesej tentang berlakunya perubahan sikap dan persepsi orang kita terhadap mereka yang bergelar 'orang seni' ini.

Teringat kita pada sebuah filem lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, yang kalau tidak silap saya dalam filem 'Ibu Mertuaku', di mana Kasim Selamat tidak diterima oleh mertuanya hanya kerana dia adalah seorang 'ahli muzik'. Kasim Selamat dipisahkan dari isterinya, di hina dan bagi masyarakat pada masa itu ianya adalah sesuatu yang memalukan.

Perubahan sikap masyarakat pada hari ini membuatkan saya termenung jauh. Di dalam televisyen saya lihat setiap kali AF tiba, ia mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Pendekata mereka sanggup berkampung sejak pagi lagi untuk diujibakat. Di Kuala Lumpur misalnya, penuh pekarangan Stadium Bukit Jalil dengan mereka yang hendak menunjukkan bakat masing-masing. Peserta bukan saja di kalangan anak-anak muda, malah mereka yang sudah bergelar nenek juga turut serta. Malah sejarah AF pernah menyaksikan seorang nenek terpilih masuk ke dalam AF. Tak sanggup rasanya saya melihat nenek yang berusia 50an tersebut berlenggang-lenggok dengan anak-anak muda belia yang baru belasan tahun umurnya.

Peserta AF datang dari seluruh ceruk rantau di Malaysia ini, malah anak-anak muda kita di pendalaman telah turut terpukau dengannya. Mereka yang jauh di Felda, yang dulunya adalah anak-anak peneroka dan ada sesetengahnya berada jauh nun di Penampang, Sabah pun telah tergoda dengan kilauan AF ini. Semasa ujibakat, ada yang datang bertemankan ibubapa. Mak ayah pun turut berkampung di Stadium Bukit Jalil sejak pagi hari lagi, kononnya nak bagi sokongan moral kepada anak-anak yang hendak diujibakat. Ahh.....berbezanya dulu dan sekarang........!!!!! Dulu......ibubapa menyorok muka dan merah telinga jika adalah salah seorang anak mereka yang terlibat menjadi 'orang seni'. Sesetengahnya sanggup 'membuang' anak tersebut dari senarai ahli keluarga kerana tak tahan dengan cemuhan masyarakat sekeliling.

Tapi, sekarang amat berbeza sekali !!!!!! Setiap minggu bila anak-anak nak buat persembahan, ibubapa yang tinggal nun jauh di selatan tanahair di Johor....hatta yang di Sabah pun, sanggup turun untuk beri sokongan. Adik beradik dan atuk nenek pun punyalah semangat....siap bawa banner dan turut bersorak-sorai di bawah pentas. Mereka sanggup berhabisan wang untuk mengundi bagi menobatkan anak mereka sebagai JUARA AF.

Kenapa ibubapa sekarang begitu bersemangat dan bangga kalau anak mereka jadi juara AF??? Tentunya tidak lain dan tidak bukan kerana tawaran hadiah lumayan yang dijanjikan...juga peluang populariti yang bakal diperolehi. Yang jadi JUARA, bakal membawa pulang hadiah berupa rumah, kereta, wang tunai puluhan ribu ringgit dan pelbagai lagi. Pendekata, nilai keseluruhan yang bakal diperoleh hampir mencecah sejuta ringgit. Bukan itu saja, malah bagi mereka dengan menyertai AF, akan membawa perubahan segera dalam hidup mereka dan salah satu cara untuk meningkatkan taraf hidup.

Tak sanggup rasanya saya melihat aksi pelajar-pelajar tersebut bila mereka terpilih masuk ke dalam akademi tersebut. Untuk tempoh 2, 3 bulan, pelajar lelaki dan perempuan 'dikurung' bersama di satu tempat....malah dalam Diari AF, kita boleh saksikan betapa mereka bermesra antara satu sama lain, cuit-mencuit dan pelbagai lagi. Dalam persembahan bersama, ada ketikanya dalam tarian mereka, pelajar lelaki menjulang pelajar perempuan. Ya Allah....di manakah maruah mereka dan betapa 'dayus'nya ibubapa mereka....sanggup melihat anak mereka diperlakukan sedemikian rupa, malah menjadi tontonan jutaan manusia. Bila anak mereka tersingkir sebelum sampai 'final', mereka menangis teresak-esak kerana sedih.... ! Heran sungguh saya.....Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah ibubapa ini akan turut sedih dan berhiba seperti itu jika anak-anak mereka tidak pandai membaca Al-Quran.

Ada juga, anak-anak yang bertudung yang diterima masuk dalam AF. Maka setiap minggu terpaksalah mereka menyanyikan pelbagai genre lagu, baik pop mahupun rock. Dengan fesyen mereka bertudung tu, maka bergoyanglah mereka mengikut alunan lagu rock tersebut.

Ya Allah.......tergamam dan kelu mulut saya dibuatnya. Maka teringatlah saya, akan Firman Allah Swt yang bermaksud:

"Allah telah mewasiatkan ke atas kamu tentang anak-anak kamu." (An-Nisa': 11)

Juga FirmanNya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka" (At-Tahrim: 6)

Ya....sejauh manakah kita memelihara anak-anak kita dari api neraka tersebut....?? Takkan lah hanya kerana mengejar kemewahan dunia, kita sanggup menggadaikan anak-anak kita.

Bagi pihak yang berkuasa, dapatlah kiranya diberhentikan program-program yang melalaikan ini. Terlalu banyak program-program seumpama AF yang melalaikan. Antaranya: Gang Starz, Mentor, Jangan Lupa Lirik dan macam-macam lagi. Tak sangka saya, betapa ramai rakyat Malaysia yang menghafal lirik-lirik lagu, walaupun mereka dikehendaki menyanyikannya secara spontan. Malah baru-baru ini saya lihat untuk anak-anak kecil juga diadakan program realiti seumpama AF tersebut. Maka, bernyanyi dan berlenggang-lenggoklah mereka menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan meniru gaya orang dewasa. Ke arah manakah anak-anak ini hendak dibawa sebenarnya??

Kalau anak-anak kita di rumah melihat aksi-aksi mereka ini di televisyen, sudah pasti mereka juga akan tertarik dan menanam impian untuk menjadi popular sekaligus memperoleh kemewahan segera. Tak perlu bersusah payah bersengkang mata membaca buku......!!! Masuk AF.....!!!! Atau, mana-mana program realiti yang bersesuaian dengan bakat yang mereka ada, samada berlakon, berlawak dan sebagainya.

Sebenarnya banyak cara yang boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk membuat transformasi program-program keagamaan, bagi menjadikan ia lebih menarik dan mendidik ummah. Apa yang dilihat, rancangan 'Imam Muda' yang diterbitkan baru-baru ini adalah satu langkah yg boleh diberi pujian. Begitu juga rancangan 'Adik-adikku' yang disiarkan oleh RTM. MasyaAllah....terpesonanya saya melihat anak-anak kecil dalam rancangan 'adik-adikku' berhujah, bernasyid dan berpidato. Seharusnya program-program sebegini diperbanyakkan lagi bagi menyaingi kebanjiran program-program hiburan yg melalaikan.

Untuk anak-anak ummi.....dalam zaman teknologi yang serba canggih ini, besar harapan ummi dan abah pada kalian agar tidak hanyut dalam hiburan yang melalaikan .....tanggungjawab kalian amat besar dalam menjadi insan soleh dan solehah. Bangunlah....Dan berpeganglah kepada Tali ALLAH, pasti kalian tidak akan sesat selamanya.

Semoga Redha Allah akan sentiasa mengiringi setiap hayunan langkah kita. Ucapkan selamat tinggal pada AF dan rancangan-rancangan yang melalaikan itu.......!

Sampai jumpa lagi. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment